"Bila Isteri Tak Lagi Cantik, Mata Tak Lagi Bercahaya, Di Sinilah Keimanan, Kesetiaan & Nafsu Suami Teruji" - Fedtri Yahya

Kecantikan fizikal itu tidak kekal kerana ia akan dimamah dek usia.

Itu antara kerisauan yang timbul dalam kalangan wanita-wanita apabila usia mereka semakin meningkat dan dalam masa yang sama berkorban untuk menghasilkan zuriat buat suami dan keluarga.

Ya, memang benar kecantikan itu sesuatu yang indah untuk ditatap. Tapi apakan daya, itu sudah lumrah manusia - akan hilang kecantikan apabila usia semakin meningkat. Namun buat suami, ketika inilah ujian getir buat anda, kongsi personaliti TV, Fedtri Yahya.

Perkongsian dari Fedtri yang dikongsikan di Facebook itu menjadi viral di media sosial sehinggakan dikongsi lebih dari 15,000 kali
Ikuti perkongsian dari Fedtri Yahya

Semakin bertambah waktu, isteri semakin pudar kelebihannya di mata suami, manakala, suami tiada apa yang kurang melainkan bertambah stabil dari pelbagai sudut.
Apabila isteri tak lagi cantik seperti bidadari yang baru dikahwini, di sinilah keimanan, kesetiaan & nafsu suami teruji.
.
Tak susah nak mencari wanita berwajah cantik, buka instagram berlambak gambar wanita cantik selfie, ootd, posing menyerlahkan kecantikan masing-masing, beribu likes. Tidak kiralah samada free hair, seksi, pakai tudung labuh, pakai purdah, semua ada.
.
Kita tengok gambar ini cantik, kejap lagi naik satu lagi gambar wanita parasnya lebih cantik, gebu & flawless. Realitinya memang akan ada ramai sangat wanita lebih cantik dari isteri kita di rumah.
Sememangnya isteri kita tidak akan mampu memenuhi semua kehendak imaginasi nafsu, tetapi kita sentiasa boleh mengubah cara pandang itu, agar menjadikan keadaan berbeza.
.
Mata isterimu memang sudah tidak bercahaya, bawah matanya lebam, eyebagnya jelas.. mengapa? Kerana ia tidak pernah cukup tidur semenjak melahirkan zuriatmu ke muka bumi ini. Kadang hanya mampu lelap seminit dua, tambahan jika anakmu tidak sihat, sakit.
Tubuh badan isterimu sudah tidak seramping dulu, bahkan kadang sudah melebihi pemelukmu. Itulah dia kerana nafsu makannya membuak-buak apabila selesai menyusui anak-anakmu, memasakkan juadah yang enak untuk santapanmu saban waktu
Memang panjang senarai kekurangan & perubahan isteri jika hendak ditulis, tambah apabila bilangan anak & umurnya makin membanyak. Tetapi didiklah mata & hati agar sentiasa membesarkan pengorbanan isteri agar kekurangannya itu nampak lebih kecil.
.
Jika para suami bermuhasabah & meletakkan dirinya sebagai antara punca isterinya jadi sebegitu, tentulah hatinya akan merasa lebih lapang & luas untuk lebih menghargai.
Apa pesan Nabi SAW kepada para suami, "Jika engkau melihat seorang wanita, lalu ia memikat hatimu, maka segeralah datangi isterimu. Sesungguhnya, isterimu memiliki seluruh hal seperti yang dimiliki oleh wanita itu." (HR. Tirmidzi)

Selebihnya, tundukkanlah pandanganmu. Itu lebih baik untuk memelihara keimanan.
Lebih payah kita meninggalkan hal yang nafsu jahat kita sukai, lebih besar kemanisan yang melimpahi hati. Satu kemenangan apabila kita berjaya menundukkan nafsu jahat itu.
.
Sesungguhnya perhiasan dunia itu adalah isteri yang solehah, maka renungilah betapa beratnya tugasmu untuk mendidik & menuntunnya agar menjadi isteri solehah.
Tuntunlah tangan isterimu, didiklah dia sebaiknya, doakan & redhailah dia agar dia menjadi ketua bidadarimu di syurga nanti, yang akan muda & cantik selamanya.
.
Jauh lagi perjalanan kita, kerana kita belum lagi di syurgaNya, wahai saudaraku.
Apa sahaja yang telah kita korbankan untuk memastikan anak isteri kita akan sama-sama masuk ke syurgaNya nanti?

Semoga Allah merahmati semua pasangan suami isteri yang mentaati Allah di dalam dunia ini.

Sumber: Fedtri Yahya