“Alah, Ayah Ni.. Sepupu Sendiri Je pun..”, Baru Kini Aku Faham Mengapa Dulu Ayah Sangat Berjaga-Jaga Walau Dengan Saudara Sendiri

Mungkin ada di antara kita yang mempunyai ibu bapa yang tegas dan sangat melindungi anak-anaknya, terutama sekali anak perempuan, yang mana cuba mengawal apa yang kita ingin lakukan.

Perkara sebegini dilihat biasa pada waktu dahulu, kerana pemikiran, sikap dan cara orang dahulu menjaga anaknya jauh berbeza dengan zaman ini.

Kita pasti akan merungut dan tidak puas hati sekiranya ibu atau ayah melarang kita untuk berjalan bersama rakan-rakan atau pun tidur di rumah sepupu, pak cik, atau nenek sekali pun.

Rasa hairan dengan cara ibu bapa kita berbuat demikian, sedikit demi sedikit dapat dilihat kesannya, bila mana banyak kes yang berlaku melibatkan orang yang rapat dan dikenali kaum keluarga.

Ikuti perkongsian dari Ainizal Abdul Latif yang membesar dengan rasa seperti dikongkong oleh arwah bapanya dahulu.

Dulu saya sangat marah apabila dikongkong arwah ayah. Saya tidak boleh bermalam di mana-mana rumah mak atau ayah saudara tanpa sebab. Termasuklah rumah nenek, kecuali dia ada sekali.

Dibiarkan saya bermain puas-puas dengan sepupu dan saudara, kemudian dia akan datang dan turut saya untuk pulang ke rumah. Saya juga tidak pernah pergi pasar seorang diri sehingga umur belasan tahun.

Pernah sekali, saya teringin sangat nak merasa pergi ke pasar dan berhuhahuha dengan kawan-kawan. Minta izin beria dengan ayah. Dia izinkan. Tapi baru sampai pasar, kawan saya kata, "macam kenal je susuk badan lelaki kat hujung tu.. "

Huwaaaa.. Rupanya ayah stalk saya sampai ke pasar. Dia izin, tapi dia tetap awas saya dari jauh. Bila masuk asrama, sampai tingkatan 5, kadang kala dia akan masih hantar saya sekiranya saya tiada kawan balik ke asrama.

Kami sama-sama naik bas. Duduk bersebelahan. Memang takde can orang nak kenyit mata apatah lagi acah-acah nak mengurat. Hahaha.

Ketika di sekolah menengah, saya tidak pernah beraktiviti sosial diluar kecuali atas arahan diwajibkan kepada pelajar. Pernah sekali teringin sangat nak berkhemah dan panjat gunung dengan kawan-kawan.

Saya memujuk ayah dengan tangisan di pondok telefon. Siap kawan support, duk mendoakan keliling pondok telefon. Letak saja ganggang saya dikerumun macam artis.

"Macam mana, ayah kau kasi tak pergi berkhemah dan panjat gunung.."

Haram...

Itulah kenangan dengan arwah ayah. Ketika menonton cerita PAPADOM dulu, saya menangis teresak mengingati ayah, rindu dengan sikap possesive, protective dan paranoid yang terlalu menjaga anak perempuannya seperti watak papa Saadom.

Hari ini kenangan itu datang lagi. Hanya kerana melihat terlalu banyak kedurjanaan yang berlaku kepada anak perempuan akibat tangan ayahnya sendiri, kepada adik perempuan akibat tangan saudara lelakinya sendiri.

Betapa saya baru faham, mengapa ayah terlalu menjaga batasan perhubungan walau dengan sepupu, pakcik dan keluarga sendiri. Sebab dulu saya selalu argue,

" Alah, ayah ni..sepupu sendiri je pun..."

Tetapi kerana sikap berjaga-jaga, ayah tetap curiga kepada siapa sahaja manusia, walau saudara. Manusia, boleh lupa hubungan darah atau saudara bila syaitan sudah beraja dalam nafsu dan jiwa.

Tuhan tidak mengurniakan ayah, tetapi seolah malaikat yang setia menjaga kepada saya.

Tapi hari ini, saya melihat sendiri persekitaran yang sangat mencabar untuk saya mengikut rentak arwah ayah menjaga anak perempuannya. Mungkin sudah tidak begitu sesuai dengan zaman anak perempuan saya.

Saya tak mampu. Lalu apa solusi yang ada?

Saya perlu kuat menjaga hubungan saya dengan pencipta dan pemilik mutlak kepada anak saya. Dialah Allah yang Maha Hafiz, yang mampu menjaga segenap masa.

Dan kuat menanamkan dalam fikiran anak-anak bahawa sekiranya kita menjaga Allah, Allah tetap menjaga kita. Allah punya segala kuasa menjaga, sedang kita manusia yang penuh kelemahannya.

Allah, selamatkan anak-anak kami dari tipu daya manusia yang berpunca dari tipu daya syaitan.

- Siakap Keli